Saturday, November 26, 2005

Berikanku Pilihan

Ingin di hidup ini aku berkata TIDAK!!!
Aku tak mampu mengungkapkan
Kerna diri naif bukan jenis melawan
Ingin aku tahu apa yang berlaku
Semua pergolakan bergejolak sepi
Sepi hingga diri tertanya-tanya

Semua beragenda, Allah juga beragenda
Diriku tajuk utama
Apa mereka fikir aku ini bola tenis
Dipukul-pukul dilantun-lantun
Apa mereka fikir aku ini manusia yang tidak berakal
Mengekor ibarat lembu dicucuk di hidung

Heh!!! Dengar sini
Aku bukan lagi budak hingusan
Aku punya Allah, aku punya Rasul
Aku punya ayah, aku punya ibu
Aku punya iman, aku punya nafsu

Heh!!! Dengar sini
Berikan aku ruang untuk aku hidup
Bergerak bebas dalam kongkongan adDeenku

Dan dengar sini
Kamu dan mereka tetap sahabatku
Kiranya niat kamu dan mereka bertunjang persahabatan
Aku persila seribu senyuman
Kiranya untuk menyoroti sedetil hidupku
Menjejak aku, mencari aku
Maka silalah
Keluarlah ke pintu gerbang berambusan

Jangan kamu dan mereka risau
Apa akan jadi kepada diriku
Selagi al-Quran dan asSunnah
Pengikat pegangan kehidupan
InsyaAllah akan bersinar cahaya keimanan

Monday, November 14, 2005

Tatapan Ainun: Hari Kemenangan Aidilfitri



Bergambar dengan jejaka-jejaka Monash...susah ohh



Posing lepas solat sunat Aidilfitri di Sport Complex

Something to Ponder

Assamualaikum w.b.t,

Kalian pembaca yang aku hormat,
Sudah lama rasanya aku tidak meng"up-date" blog aku ini. Erm...kali ini aku ingin mengajak sahabat-sahabat merenungi hadis yang aku sertakan di bawah.

Diriwayatkan dari Imam Khatib Al-Baghdadi ra (Abu Bakr ibn Ali bin Sabit ) dengan sanad yang sahih bahawa telah berkata Sufyan As- Sauri ra " Agama ini dibina dengan Asar -istinbat Al-Qur'an dan sunnah serta apa yang diriwayatkan dari para sahabat yang membawa kepada maksud syariah (Al-Qur'an & Sunnah)- dan bukanlah agama ini dibina dengan akal."

Kalau aku nak bagi ulasan pada hadis ini pun aku tak berapa tahu. Namun aku harap agar sahabat-sahabat bertanya kepada mereka yang lebih fakih dalam bidang hadis atau mereka yang benar-benar mengetahui berpandukan kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. InsyaAllah.

Monday, November 07, 2005

Selamat Hari Lahir yang ke-21 khas untuk diriku, Mohd Naguib

Tanggal 7 November 2005, maka Allah telah memanjangkan umur ke perinkat 21 tahun. Syukur alhamdulillah. Terima kasih aku ucapkan buat sahabat-sahabat yang mengatakan diri ini sudah tua....hehehe. Sememangnya dah tua dah aku ni yek.

Tua tua aku memang diri ini dan seluruh umat manusia pasti mendekati mati. Dan pada hari lahirku yang ke-21, aku bersyukur kerana hari ini membuatkan aku mengingati kematian. Lantas, menyedarkan aku agar bermunasabah.

Sahabat-sahabat yang aku hormati,
Aku insan yang lemah dan semestinya terdedah untuk melakukan kesilapan dan dosa. Saban hari, dosa yang dilakukan ada kala di bawah sedar ada kalanya tidak. Saban hari, jika aku bermunasabah, aku berazam untuk mengurangkannya. Ini semua tercetus kerana mengingati kematian.

Tapi aku pelik. Di hadapan mata aku sendiri, ada manusia yang senantiasa menghumbankan diri mereka dalam kancah dosa. Dosa yang penuh dengan nikmat nafsu, yang bakal api neraka menjilati tubuh mereka. Wahh, nikmat sungguh mereka menikmatinya. Berselingkuh seharian tanpa mengingati Allah memerhati gerak langkah mereka.

Sahabat-sahabat sekalian,
Aku yakin kerana kita masih belum lagi mencapai tahap keyakinan dan kesedaran yang mantap dan cekal terhadap kewujudan hari akhirat yang pasti menjelang. Lebih-lebih lagi saat kematian yang bakal meragut nyawa ini. Yang pasti memisahkan roh dan jasad daripada kehidupan dunia. Kita masih kurang memeriksa diri kita setiap hari. Kita masih tidak serius akan cabaran hidup ini. Wahh, masih banyak lagi yang aku perlu perbaiki dalam diri ini.

Aku menyeru diri aku terumatanya agar berusaha memperbaiki dan meningkatkan diri saban hari. Dekatkan diri, dan akrabkan hubunganku dengan Allah swt. Pasti Allah menolongku dari arah yang aku tidak sangka-sangka. Akhir kata, lirikan senyumanmu wahai Mohd Naguib bin Mohd Yunos.

Friday, October 28, 2005

Halwa Kesenian



Dengarkanlah alunan lagu ni. Ambillah sebanyak teladan daripada lirik-liriknya. Moga-moga kita mendapat kesedaran yang dikurniakan oleh Allah.

Bicaraku

Assalamualaikum kalian pembaca blogku,

Aku kini sedang mencari media pengantara yang sesuai untuk tatapan kalian. Kiranya kalian perhatikan, aku menggunakan dua jenis pengantara media video iaitu YouTube dan BlipTV. Setiap antara kedua-dua media ni mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Namun begitu, aku ingin meminta pandangan daripada kalian untuk aku membuat keputusan media yang mana satu yang senang untuk ditatap oleh kalian. Jika kalian tidak keberatan, khabarkan kepadaku.

Kelebihan dan kekurangan YouTube:

  1. Mudah untuk ditonton kerana para pembaca tidak perlu menunggu untuk proses loading yang lama.
  2. Namun begitu, kesan audio (suara) tidak seiringan dengan kesan video (pergerakan mulut). Namun pembaca masih lagi dapat memahami mesej yang hendak dikongsi.

Kelebihan dan kekurangan BlipTV (BlipTV adalah video yang mana pembaca perlu menekan butang Watch The Video:

  1. Kesan audio dan video yang jelas dan seiringan
  2. Namun begitu, mengambil masa yang agak lama untuk loading.



Bicaraku


Watch the video

Assalamualaikum pembaca blogku,

Pada posting kali ini, aku ingin berkongsi dengan kalian akan kehadiran hari akhirat yang pasti akan datang. Di sini aku ingin mengajak kalian untuk kembali menyedari akan hakikat yang pasti tidak dapat dielakkan oleh mana-mana jiwa.

Wednesday, October 26, 2005

Bicaraku

Asslamualaikum pembaca blogku,

Inilah bicaraku. Dengarkanlah. Maaf kiranya terdapat kelambatan antara audio dan video.

Wednesday, October 19, 2005

Santapan Ainun 2

Siapa sangka?
Segala telah ditentukan
Di purnama awalan 2006
Tiada lagi senyum tawamu
Ikatan erat takkan seperti dulu
Kerana kalbumu bertakhta sudah

Antara dua akhlak
Yang mana layak di sisiMu?
Aku bukan pengkritik kafiran
Hanya insan bermunajat limpahan
Di mana jua aku bernafas
Lafaz tujuh ulangan menjadi keagungan
Niat suci antara aku dan Kau
Tiada siapa menjadi halangan
Wahai Kau yang kucintai
All photos taken by Mohd Naguib bin Mohd Yunos

Santapan Ainun


Merenung jauh entah ke mana
Ke mana penghujung akan tiba
Wahai Tuhan kauberkuasa
Tetapkan daku di landasan kebenaran


Photo taken by Mr. Mohd Naguib bin Mohd Yunos
During IMS Camp 2005 at Puffing Billy

Monday, October 17, 2005

Diskusi Ramdhan

Assalamualaikum sahabat-sahabatku,

Pada Ramadhan yang diberkati Allah ini, aku tertarik dengan soal jawap yang kudapati daripada laman setia kunjunganku formulacemerlang.com

Posting kali ini akan mengkepilkan persoalan Berbekam dan Kaedah Suntikan Pada Bulan Ramadhan

Kiriman walid

Assalamualaikum Dr Danial dan ikhwani muslimin,

Saya inginkan penjelasan berkenaan hukum:

(i) Seorang pesakit yang sedang berpuasa dimasukkan air/ ubatan ke dalam badannya menggunakan kaedah suntikan. Ada yang berpandangan keadaan itu tidak membatalkan puasa kerana tidak dianggap memasukkan sesuatu ke rongga badan. Tetapi bagaimana pula sekiranya si pesakit tadi (bukan sakit tenat) dimasukkan air ke badan sehingga hilang rasa dahaganya,bahkan timbul kesegaran asal lantaran air dan zat yang dicucuk masuk melalui wayar ke lengannya.

(ii) Sebuah hadis riwayat Bukhari bermaksud: "Sesungguhnya Rasulullah berbekam dan baginda sedang berpuasa". Manakala sebuah hadis lain pula (tidak diketahui riwayatnya) menyatakan hadis baginda yang bermaksud: " Orang yang melakukan bekam dan orang yang dibekam, batal puasanya". (Buku Jenis-Jenis Penyakit & Cara Merawatnya Menurut Nabi SAW - Abdul Shukor, Penerbitan JASMIN 2004)Pada akhir penulisan dalam bab ini, pengarang lebih cenderung berpendapat bahawa ketetapan hukum adalah BERBEKAM MEMBATALKAN PUASA.

(iii) Saya ingin mengetahui nas yang jelas berkaitan fatwa kerajaan Arab Saudi beberapa tahun lepas (kalau tidak salah saya)yang menyatakan tidak batal puasa apabila mengorek hidung. Adakah lubang hidung tidak dikira sama dengan rongga telinga,mulut, qubul dan dubur?

Harap kemusykilan ini dapat dileraikan dan menjadi ibadat kepada kita semua.

Respons Dr. Danial

KAEDAH KECEMERLANGAN: PENDAPAT MANUSIA PERLU DI ANALISIS. UNTUK ITU LUASKAN PEMBACAAN DAN PENGETAHUAN.

Berbekam atau hijamah dalam bahasa Arab bermaksud mengeluarkan darah dari badan. Mazhab Hambali mengatakan berbekam membatalkan puasa. Namun mengikut majoriti ulama, berbekam TIDAK MEMBATALKAN puasa. Ia berdasarkan hadis yang sahih sebagai contoh dari Abdullah bin Abbas yang berkata: "Nabi pernah berbekam sedangkan baginda sedang berihram dan berbekam ketika baginda sedang berpuasa." (Bukhari & Ahmad)

Thabit al-Bariani pernah bertanya kpd sahabat Anas, "Adakah kamu menganggap makruh berbekam di zaman nabi?" Anas menjawab, "Tidak, kecuali jika ia menyebabkan badan lemah." (Bukhari & Lain-lain)

Memang terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad & Tirmizi yang melaporkan bahawa berbekam membatalkan puasa. Dalam kitab Nailul Autar disebutkan, "Jumhur (majoriti) ulama berpendirian bahawa berbekam tidak membatalkan puasa. Mereka mengatakan (hadis-hadis yang mengatakan berbekam membatalkan puasa) telah dimansukh (iaitu dibatalkan hukumnya dan digantikan dengan hukum tidak membatalkan)."

Demikianlah juga hukumnya bagi pesakit yang diambil darahnya di siang hari di musim Ramadan.
Berhubung dengan memasukkan air (drip) ke dalam pembuluh darah, ia juga tidak membatalkan puasa sebab pembuluh darah bukannya rongga. Kebiasaannya ianya dilakukan ke atas pesakit yang tenat ataupun yang memerlukan walaupun tidak tenat. Semoga bermanfaat.

RUJUKAN:

1- Fiqhus Sunnah - Sayid Sabiq

2- Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Autar - Syeikh Faisal

3- Fiqh Lima Mazhab - Mohd jawad Mughniah


Dr. Danial Zainal Abidin
(M.B.Ch.B; Universiti Alexandria)
Pengamal Perubatan 20 Tahun,
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Radio Mutiara FM Pulau Pinang,
Penulis 10 buah buku,
Kolumnis Majalah i,
Pemudah Cara Pelbagai Korporat...

Titipan Seorang Doktor 1

Assalamualaikum,

Di bawah adalah petikan yang aku ambil daripada laman kunjungan saban hariku, formulacemerlang.com. Titipan Dr. Danial Zainal Abidin ini kutuju khas buat sahabat-sahabat dan kalian pembaca yang ingin menimba serba sedikit ilmu perubatan yang diturunkan Allah. InsyaAllah dengan petikan ini, moga-moga Allah menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri kalian.

Kiriman nur_faizah

Assalamualaikum Dr.
Ibu saya selalu mengalami sakit pada bahagian sendi terutamanya pada bahagian jari.Bahagian jarinya akan menjadi bengkak dan sakit apabila terhantuk pada sesuatu. Apakah makanan yang patut diambil oleh ibu saya untuk mengurangkan kesakitan yang dialami dan apakah makanan yang tidak patut diambil oleh ibu saya. Diharap Dr. boleh memberi sedikit pandangan. Terima kasih

Respons Dr. Danial

KAEDAH KECEMERLANGAN: UBAT BAGI KEBANYAKAN PENYAKIT IALAH PENCEGAHAN

Sakit yang dialami dikenali secara umumnya sebagai 'arthritis' atau radang sendi. Ia menyebabkan sesuatu sendi menjadi sakit, bengkak dan keras. Antara bentuk athritis yang sering dialami ialah 'rheumatoid arthritis' dan osteo-arthritis.' Antara punca penyebab athritis ialah 'pelapik sendi' yang dikenali sebagai cartilage telah nipis atau rosak. Kerosakan ini menyebabkan geseran berlaku antara tulang. Jutaan manusia menghidap penyakit ini. Di Amerika saja lebih dari 43 juta orang menghidap arthritis. Antara faktor yang memudahkan penyakit ini menyerang ialah: kegemukan, proses ketuaan, cara duduk/baring yang tidak betul, kerja lasak, jatuh atau hentakan.

Kebiasaannya doktor akan memberikan ubat tahan sakit dan bagi kes-kes tertentu, steroid serta suntikan dalam sendi. Jarang-jarang sekali pembedahan diperlukan.Bagi pesakit radang sendi osteoarthritis yang menyerang ramai golongan tua, ubat 'glucosamine' and 'chondroitin' didapati amat berkesan. (RUJUKAN: The Journal of the American Medical Association March 15, 2000;283:1469-1475, 1483-1484)

Mereka yang suka minum kopi/nescafe lebih mudah menghidap rheumatoid arthritis. Penyakit ini sering menyerang sendi-sendi wanita berumur antara 36-50 tahun. (RUJUKAN: Annals of the Rheumatic Diseases 2000;59;631-635)

Mengikut satu kajian ke atas penduduk di Selatan Greece, mereka yang suka menggunakan minyak zaitun (olive oil) jarang diserangi penyakit sendi rheumatoid arthritis. (RUJUKAN: American Journal of Clinical Nutrition December 1999;70:1077-1082)

Terdapat kajian yang menunjukkan mereka yang suka memakan makanan yang kaya dengan vitamin C dapat mencegah dari penyakit radang sendi yang pelbagai (polyarthritis). (RUJUKAN: Annals of Rheumatic Disease July 2004 63(7):843-7)

Semoga bermanfaat.

Dr. Danial Zainal Abidin

(M.B.Ch.B; Universiti Alexandria)
Pengamal Perubatan 20 Tahun,
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Radio Mutiara FM Pulau Pinang,
Penulis 10 buah buku,
Kolumnis Majalah i,
Pemudah Cara Pelbagai Korporat...

Friday, October 14, 2005

Ternanti-nanti...di mana kerjasama???

Lagi beberapa minggu sahaja aku akan menduduki peperiksaan akhir tahun pertamaku. Persediaan aku dalam menjelang peperiksaan ini serupa macam tak bersedia. Yalah, masih di peringkat penyusunan nota.

Aku juga ternanti-nanti sahabat-sahabat yang hendak bersama-samaku untuk belajar sekali. Seingat aku dah dua kali aku cuba untuk melaksanakan study group tapi mungkin aku ini banyak berenang di atas katil lantas tak jadi. Salah aku juga. Entahlah kini aku hanya menunggu manusia yang bersemangat untuk belajar untuk study bersamaku. Sesiapa mahu???

Itulah yang aku pelik kadang-kadang. Selayang pandang aku lihat, segelintir manusia bekerjasama untuk menegakkan agama Allah. Sanggup berkejar-kejaran untuk merebut ganjaran pahala. Alhamdulillah satu usaha yang moga-moga diberkati Allah dan sememangnya dituntut. Namun alangkah sedihnya aku apabila manusia tidak lagi bersemangat dan kurang kesyumulannya dalam mengajak manusia untuk study bersama-sama. Perkara sekecil ini mereka pandang enteng.

Aku tidak tahu bagaimana pemikiran pelajar sekarang dalam usaha untuk belajar bersama-sama ini. Adakah mereka menganggapnya wajib atau sekadar optional? Maksud aku bila datang exam, baru study. Entahlah aku sendiri pun tidak pernah menanyakan.

Namun biarlah aku menyatakan pendirian aku. Ini adalah pendirian aku. Mungkin ada salah dan aku minta maaf atas sekalian. Pendirian aku terhadap belajar bersama-sama ini adalah suatu perkara yang aku kira suatu kewajipan. Mengapa?

Ini adalah kerana berdasarkan hadis Nabi saw bertaraf hadis hasan:

Kalimah al-Hikmah (ilmu pengetahuan) ialah barangan orang Islam yang hilang, di mana sahaja kamu menjumpainya kamu kamulah yang lebih berhak terhadapnya.

Dari segi periwayatan tu, kalian boleh bertanya kepada aku. Nak tulis panjang. Yang pasti hadis ini bertaraf hasrat.

Kalau kalian ingin tahu, hadis inilah yang menyalakan semangat aku secara berterusan selama 2 minggu (aku terbaca hadis ini 2 minggu yang lalu, alhamdulillah atas ketentuan Allah) untuk terus menimba ilmu tanpa mengomel apa-apa pun.

Kalau dilihatkan bagaimana reaksi aku dan rakan-rakan sewaktu pertama kali menuntut ilmu perubatan ini, ramai saja yang mengomel termasuk aku mengatakan subjek ini dan itu tidak relevan. "Buang masa je belajar", "Bosan seh" dan lain-lain komen. Dengan hadis ini, lantas mengubah paradigma aku.

Tidak kira ilmu tu terang-terang daripada al-Quran dan as-Sunnah, maupun daripada penulis-penulis barat, sekiranya ilmu tu adalah untuk kemaslahatan umat islam, maka sesungguhnya ilmu itu adalah milik umat islam. Maka tuntutlah dengan azam sungguh-sungguh bahawa kita sebagai umat islam ingin mengambil kembali ilmu itu.

Perkara ini membuatkan aku tidak mensia-siakan usaha aku untuk mengulang kaji subjek-subjek untuk exam walaupun menimbun nak muntah. Hadis ini menyebabkan aku tidak jemu-jemu bertemu dengan Richard (tutor Anatomi) demi mengorek ilmu Anatomi (ilmu tubuh badan manusia) dengan keyakinan bahawa ilmu tu adalah hak milik umat islam.

Aku tidak tahu kiranya ada kalian yang lebih bersemangat daripada aku. Dan aku menghargai kira kalian dapat berkongsi dan jikalau lebih baik, kita bekerja bersama-sama ke arah mencari keredhaan Allah.

Setakat ini manusia Adam di sekeliling aku bersikap introvert. Alasan aku kerana aku tidak mengetahui apa-apa yang mereka pendamkan. Lebih-lebih lagi menjelang exam ini. Aku hanya tersenyum berserah dan bermohon pertolongan daripada Allah. Aku yakin semua orang pasti bermohon kepadaNya. Maka di mana usaha kita sesama manusia.

Sekadar di sini rintihan aku untuk meningkatkan kesedaran aku. Aku menunggu semangat manusia lain untuk aku bertindak. Jika tiada, selangkah demi selangkah akan kuorak selagi mana aku mampu.

Wednesday, October 05, 2005

Pengalaman Baru di Bulan Ramadhan

Hari ini tanggal 5 Oktober 2005 bersamaan 1 Ramadhan 1426 H,

Banyak pengalaman dan cabaran yang aku alami untuk hari pertama puasa aku. Cuma pada posting kali ini aku hendak berkongsi dengan anda sekalian berkenaan dengan peristiwa yang berlaku dari pukul 4 petang sehingga 5 petang (waktu Australia).

Buat pertama kalinya, Allah telah menggerakan hati dan diri ini untuk menghadiri Annual General Meeting (AGM) Monash University Islamic Society (MUIS). Aku pun tidak tahu kenapa aku datang. Tapi yang pasti, aku dapat merasakan bahawasanya paling tidak aku yang beradDeen islam kenalah serba sedikit menyokong dan mengambil tahu hal-hal berkenaan dengan persatuan ini. Maka daripada situ, terdetik untuk aku menghadirinya.

Telah Allah tentukan, dalam satu sesi pemilihan komiti, aku telah ditanggungjawabkan untuk menyandang jawatan Mosque Liason Officer. Bukanlah untuk aku menyatakan apa-apa kebanggaan. Malah aku sendiri sehingga kini pun tidak tahu apa-apa tentang tugas tersebut. Namun kerana aku merasakan sebagai muslim aku wajar menabur bukti kerana Allah, maka aku menerimanya. Tapi tidak mengapa walaupun aku tidak tahu menahu selok-belok tugas tersebut, insyaAllah komiti yang berpengalaman akan pasti menunjuk ajarku.

Kalian pembaca yang dirahmati Allah,
Untuk makluman anda, aku berasa terkejut kerana AGM yang aku hadiri, ahli-ahli yang hadir tidaklah seperti AGM yang diadakan oleh syarikat-syarikat gergasi. Contoh di Malaysia seperti Petronas ataupun MARA. Dalam pengkiraan aku hanya 12-14 orang sahaja. Kejutan aku makin bertambah apabila dimakluman bahawa ada ratusan pelajar muslim di Monash University, Clayton Campus. Dalam hati ini terdetik, " Di mana mereka semua?"

Aku rasa bukan aku saja yang merasakan situasi tersebut. Malahan pada mesyuarat yang lalu yang MUIS anjurkan, di mana aku sendiri tidak tergerak untuk datang, aku kira kedatangan ahlinya begitu juga. Di manakah aku tika itu?

Malahan aku terasa seperti dihempap batu yang besar apabila ada seorang hamba Allah ini mengemukan pendapatnya. Dia mengatakan komiti islam hanya boleh dikumpulkan apabila ada makanan lazat yang dihidangkan. Contohnya seperti aktiviti BBQ ataupun buka puasa (Iftaar). Senyum sinis aku pada diri ini. Memang benar kenyataan itu.


Kalian pembaca yang aku sayangi,
Aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana aku yakin setiap manusia ada urusan mereka sendiri. Urusan penting yang aku tidak tahu apa matlamat mereka. Dan aku optimis terhadap niat mereka. Kita semua senantiasa sibuk. Ada yang sibuk mengejar usaha mencenderungkan manusia sebangsanya ke arah kebenaran ada juga yang sibuk mengejar urusan duniawi.

Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, aku akan berusaha menjadi seorang muslim yang menyelam sambil minum air, tangkap ikan. Selagi ada ceruk ruang untuk aku berbakti kepada adDeenku, selagi setiap masa dimanfaatkan untuk adDeenku, maka di situlah aku akan menggemblengkan usahaku. Terus-terang aku mengakui hakikat kelemahan aku. Namun, kira ada ruang untuk aku bersama-sama mengajak manusia ke arah kebenaran, aku kira tidak salah perjuangan ini. Moga-moga Allah memahami setiap langkah yang aku aturkan dan diberkati olehNya. Ameen.

Friday, September 30, 2005


MASA...ke mana Menghilang???

Sepintas lalu marilah kita bersama-sama merenungi sebuah hadis,

"Daripada Abu Hurairah ra katanya: "Rasulullah saw telah bersabda: "Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya." (Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Tirmizi dan lain-lainnya)

Aku mengemukakan hadis bukanlah untuk mensyarahkannya tapi sekadar untuk berkongsi serba sedikit tentang perjalanan umat manusia di dunia ini.

Masa suatu entiti berdimensi tunggal yang tidak dapat diputar kembali. Bergerak tanpa mengira suasana sekelilingnya. Dia persis konsisten dalam menluncur waktu saban hari. Persoalannya, kita umat manusia yang hidup di bawah takuk ruang masa ini wajar menyoalkan, ke mana hilangnya masa, ke mana kita gunakan dan pelbagai soalan untuk kita sedar bagaimanakah masa itu kita manfaatkan.Berlandaskan pemikiran yang dikurniakan Allah, secara ringkas aku mengistilahkan setiap masa yang berlalu pasti ada setengah manusia yang memanfaatkannya ke arah perkara berfaedah, dan ada juga yang membiarkan masa berlalu terhadap perbuatan mereka yang sia-sia.

Kita sewajarnya mengetahui bahawa kurniaan masa adalah anugerah daripada Allah swt. Oleh itu, kita sebagai umat yang bukan sekadar islam di nama, sewajarnya memanfaatkan masa itu sebaik mungkin. Seutama-utamanya, setiap detik hanyalah untukNya. Sebagai contoh, mencoret blog ini aku kira sebagai salah satu tindakan aku untuk memanfaatkan masaku. Atas dasar apa-apa yang aku coretkan moga-moga menyedarkan aku kembali dan sekiranya dirahmati Allah, pembaca sekalian mendapat manfaatnya.

Kalian pembaca blogku,
Hidup ini penuh dengan pilihan. Daripada Allah memberi kudratNya untuk mencelikkan mata sehinggalah Dia menidurkan kita kembali. Pilihan-pilihan seperti hendak makan atau tidak?, hendak ke sekolah atau tidak? yang mana lagi best solat dulu atau menghabis cerita movie dahulu dan pelbagainya. Mana-mana pilihan yang kita putuskan semuanya melibatkan masa dan masa pasti berlalu.

Persoalan seterusnya, bagaimana cara untuk kita memastikan pilihan kita itu tepat dan yang paling UTAMA mematuhi keredhaan Allah swt. Wahai sahabat-sahabat, kita tidak perlu tercari-cari bagaimanakah kerana Allah dan RasulNya telah menyenangkan kerja kita. Apakah caranya? Tentulah hadis yang telah aku utarakan pada awal perbicaraan ini.

Untuk aku menceritakan dengan lebih lanjut, agak sukar sedikit. Ialah takut-takut ada di antara kita yang tersalah faham dengan penulisanku. Tapi kalian jangan gusar, telah Allah maklumkan dalam Kalamullah, pada surah an-Nahl 16, ayat 43 (16:43)

"...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui..."

Untuk tidak menghampakan kalian, aku akan mencatat secara ringkas metodologi yang aku sering dan masih berusaha lakukan agar masa yang dikurniakanNya dimanfaatkan sebaik mungkin,

  1. Keutamaan adalah segala perkara yang berkaitan dengan hak-hak Allah atau kewajipan aku membentuk diri aku sebagai seorang Muslim. Sebagai contoh; solat fardhu secara berjemaah, puasa sunat, membaca al-Quran, membaca al-Mathurat, membaca bahan ilmiah selain bahan-bahan kursus Perubatan, dan beriadah. Sesibuk mana diri aku ini yang pasti aku berusaha untuk memastikan aku melangsaikan segala perkara ini setiap hari.

  2. Kemudian, mengulangkaji pelajaran adalah keutamaan seterusnya. Walaupun segigih mana usaha aku untuk mendalami islam namun pelajaran tetap aku beratkan. Ini adalah salah satu ALAT yang akan aku gunakan pada masa depan demi mengandakan usaha aku untuk mencederungkan manusia islam kini ke arah kebenaran.

  3. Untuk melaksanakan antara perkara-perkara di atas, aku membentuk sebuah jadual berkala agar saban hari aku dapat menanda tick pada perkara yang telah terlaksana. Dengan ini mudah bagi aku untuk melihat tahap-tahap kemalasan dan kerajinan aku. Ingat!!!! Bukan mudah untuk dilaksanakan. Iman dan nafsu aku senantiasa bertelagah saban masa. Kadang-kadang iman menang, kadang-kadang nafsu bermaharajalela. Inilah cabaran, dugaan dan godaan.


InsyaAllah, akhir kata sekiranya ada perkara-perkara yang aku terlupa untuk diselitkan akan kugarapkan pada catatan yang akan datang. Sekiranya, para pembaca ingin berkongsi sedikit pengalaman bagaimana pembaca menghabiskan masa sebagai seorang bapa, pelajar dan lain-lain, amatlah dialu-alukan.

Thursday, September 29, 2005

Sekembali dari Medan Perjuangan

Alhamdulillah sahabat-sahabat sekalian,

Akhirnya diriku kembali menjejakkan kaki ke bumi Clayton. Tiga hari aku di Arrabri Lodge, Warburton East mengajar aku erti kehidupan seorang mu'min. Kemungkinan mata kasar tidak dapat menilai. Namun, aku serahkan penilaian itu hanya kepada Allah yang Maha Adil. Yang penting aku berusaha sedaya mana aku mampu dengan ilmu yang tersemat di dada hasil hidayah Allah dan juga nasihat sahabat-sahabatku.

Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana IMS Camp ini menyedarkan aku kembali akan erti keimanan yang sebenar. Melonjakkan hatiku untuk menilai kembali akan segala perbuatan yang telah aku lakukan. Anda pembaca blogku, bukanlah aku ini seorang manusia yang sempurna. Tidak!!! Namun, manusia seperti aku acapkali melakukan dosa-dosa. Atas kesedaran untuk membentuk diri menjadi seorang Muslim maka aku berusaha sedaya upaya meninggalkan segala jahiliyyah yang tidak diingini oleh Islam.

Setiap aktiviti yang dilaksanakan di Arrabri, aku tidak melepaskan peluang untuk menjadi pemerhati yang jauh daripada sangsi. Aku memerhati keadaan gelagat manusia malahan aku sendiri memerhati tindakan aku. Baik maupun buruk di sisi Islam. Aku tidak sesekali menghakimi apa-apa saja yang aku lihat malahan aku cuba memeras otak untuk mempersoalkan keseiringan tingkah laku kami semua dengan adDeen. Hipotesisnya, ada yang seiring dan ada yang tidak.

Bukanlah perkara ini berlaku atas sebab mereka bersahaja ingin melakukan. Kukira tidak. Kemungkinan, atas sifat optimis, aku menjangka kefahaman Islam tidak menyeluruh lagi dalam hidup mereka. Atau mungkin kefahaman adDeen yang mereka perolehi masih tidak mampu lagi mengawal tingkah laku yang tidak diingini. Banyak lagi bibit-bibit kesedaran yang perlu disemai dalam hati-hati mereka sebagaimana Allah telah mentakdirkan semaian itu dalam hatiku. Kesedaran ini penting demi mewujudkan kembali akidah yang kukuh dan luhur sehingga segala ilmu adDeen yang dipelajari membangkitkan keyakinan yang tidak ternilai dan tidak mudah rapuh.

InsyaAllah pembaca blogku,
Kiranya dengan melayari hasil tulisanku, pelbagai tanggapan yang tidak tergambar di pemikiran kalian maka aku berharap kalian bertanya kepadaku. Bertanyalah supaya iman kalian bertambah dan jangan sesekali bertanya semata-mata untuk mengetahui keaiban mereka maupun aku. Kita sama-sama Muslim, bersangka baiklah demi untuk ukhwah sesama kita. Aku tak mampu lagi membenci kerana kecemburuan, tapi yang pasti kegeraman tercetus adalah kerana Allah s.w.t. Wassalam

Tuesday, September 27, 2005

Penitian Perjuangan

3 malam di ARRABRI...

Hari ini tanggal 27 September, aku ke Arrabri. Bukan untuk berseronok tapi untuk mencenderungkan manusia ke jalan yang sebenar.

Buat pengunjung yang setia, blog ni akan diupdate sekepulangan ku dari Arrabri.

Doakan keselamatan ku di sana..

Wallahualam

Wednesday, September 14, 2005

Semangat yang Berterusan


Assalamualaikum warahmatullah,
Hari ini tanggal 14 September 2005, aku mula mendaftar dan mencoret blog aku pada laman blog yang baru ini. Dahulu aku menggunakan blog yang diorganisasikan oleh Friendster. Oleh kerana aku mahukan sedikit pembaharuan dan cabaran maka blogger.com menjadi pilihan aku. Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca intim blog aku ini. Aku berdoa agar Allah membenihkan keinsafan dan ketaatan pada jiwa kalian apabila membaca blog aku ini. Aku juga berharap agar kalian memperoleh suatu kemanfaatan dalam melirik mata kalian pada catatan kronologi kehidupan ini. Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, ini bukanlah blog seorang sasterawan ataupun karwayan, namun catatan kronologi pandangan seorang insan dengan ad-Din ISLAM
.