Monday, April 17, 2006

Recommended Reading Material 2006


Satu ruangan terbaru untuk kalian pembaca blog aku. Recommended Reading Material. Buku tulisan Jack Canfield bersama Janet Switzer bertajuk "The Success Principles". Buku yang bagi aku bertaraf mantap (Quran lagi mantap), disarankan oleh Abg. Fauzul (penerbit buku PTS Milennia). Harga buku dalam RM 69.95. Dalam Australian Dolar, tak salah aku AUD 40.

Jack menulis buku ini yang berkisar tentang prinsip-prinsip kejayaan orang-orang yang berjaya dalam hidup mereka. Kesemua sekali terdapat 64 prinsip kejayaan. Jenuh untuk aku menceritakan kesemuanya. Mana yang sempat aku kongsi akan aku kongsi bersama.

Buku ini boleh didapati dalam ruangan Self-Help di mana-mana kedai buku, tak kiralah Borders ke, MPH ke atau lain-lain. Kemungkinan ada di antara pembaca akan menyangka buku ini sesuai untuk dibaca oleh orang-orang yang gemarkan motivasi atau memerlukan motivasi. Namun bagiku buku ini adalah untuk sesiapa yang dahagakan kejayaan dalam hidup. Tak kira di dunia mau di akhirat.

Kalau hendak dibandingkan Quran dan buku Jack ini, sudah tentu Quran lagi mantap untuk kejayaan di dunia dan di akhirat. Tapi aku tidak mahu menyentuh tentang perkara itu. Kalau hendak juga, berurusanlah dengan aku secara personal.

Buku ini memaparkan prinsip-prinsip yang semua manusia tahu akan kewujudannya. Namun buku ini seolah-olah memberi kesedaran kepada pembaca untuk melaksanakan prinsip-prinsip tersebut. Secara peribadi, bagi aku buku ini merupakan satu manual universal untuk mencapai kejayaan. Maksud aku tidak semestinya setelah habis membacanya anda akan berjaya dalam semalam. Tidak begitu. Cumanya, sebagai titik mula untuk mengorak langkah ke arah kejayaan.

Antara kandungan buku yang menarik perhatian aku adalah berkenaan persoalan bilakah waktu yang sesuai untuk kita mengorak langkah ke arah kejayaan. Jack memberi fakta bahawa tiada masa yang sesuai untuk kita bermula (p. 425). Anda hanya perlu terjun dan memulakannya. Tidak perlu takut akan kesilapan kerana dipertengahan jalan nanti, anda akan mengetahui apa-apa yang perlu dilakukan.

Secara peribadi, terdapat satu dua prinsip dalam buku ini telah aku laksanakan dan sememangnya terbukti benar. Antara teknik yang aku implikasikan adalah bertanya atau Ask! Ask! Ask! (pp. 139 - 145). Kebanyakan orang takut untuk bertanya akan sesuatu yang mereka mahukan. Situasi ini berlaku terhadap diri aku sendiri dan juga antara sahabat-sahabat aku. Masalah takut di sini bukan takut kepada harimau atau jembalang tapi takut untuk bertanya. Kemungkinan leceh untuk berbahasa Inggeris, atau takut kena marah atau sebagainya. Maka, dalam buku ini juga, Jack ada menulis akan perasaan takut ini dan bagaimana untuk mengatasinya.

Hasil penulisan Jack ini adalah berdasarkan realiti hidupnya, hasil pembacaan berpuluh-puluh buku dan juga kisah kejayaan manusia di dunia yang aku kira masih hidup sebahagian daripada mereka.

Saranan aku kiranya buku ini menambat hati anda semua, jangalah segan-silu untuk memilikinya. Pembaca tahap normal seperti aku boleh menghabiskan dalam masa 23 hari dalam kesibukan mengulangkaji pelajaran. Aku pasti anda boleh melakukan yang lagi terbaik. Kerana kita semua adalah yang terbaik!!!

Nasi Lemak Sale!!!



Nasi Lemak Sale!!! Itulah tema terbaru dalam agenda hidup aku tahun 2006. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Kemungkinan kalian pembaca yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku, hari ini akan aku bongkarkan.

Aku sebenar telah menceburkan diri dalam dunia perniagaan kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak. Idea menjual nasi lemak ini tercetus semata-mata untuk mencari duit sara hidup untuk masa depan. Manalah tahu duit untuk kahwin ke atau apa saja. Yang pasti akhir tahun 2005, aku terfikir akan perniagaan ini. Bonda aku adalah orang terpenting yang membantu aku menyumbang serba sedikit idea.

Maka, sekembali aku ke bumi Melbourne, idea ini aku jaja ke sahabat-sabahat aku. Mereka menyokong aku. Maka pada tanggal 18 March 2006, dengan penuh kesyukuran 33 set nasi lemak telah aku jual kepada sahabat-sahabat yang menginap di hostel di Monash University ini. Harga satu set dalam AUD 2.

Setakat ini, aku telah melaksanakan sebanyak 3 jualan. Jualan kedua dengan 54 set nasi lemak terjual. Jualan ketiga meningkat dengan 59 jualan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun penat membanting tulang semalaman menyiapkan tempahan.

Cumanya tika saat ini, aku masih mencari resipi-resipi bagi membantu menaikkan lagi taraf citarasa sambal aku. Pelbagai resipi-resipi rahsia yang aku pelajari daripada sahabat-sahabat yang lain. Terima kasih kepada mereka!!!

Kalau ditinjau keadaan 2006 di sekitar Monash University, ada segelintir sahabat-sahabat aku yang lain gigih berkeringat mencari duit poket tambahan. Ada setengahnya yang sanggup berjaga mencelik mata seawal 4 pagi demi mencuci kereta diselubungi kedinginan. Ada juga yang bekerja sebagai pencuci di sekolah. Dan juga yang lain-lain yang aku tidak pasti ke mana mereka bekerja.

Matlamat mereka bekerja juga aku tidak pasti. Kemungkinan mengumpul duit untuk berkahwin. Ataupun melabur di Malaysia. Ataupun untuk memenuhi idaman berbelanja dan sebagainya. Aku berharap dan berdoa mereka mendapat idaman yang dicitakan.

Berkenaan jualan nasi lemak aku, aku insyaAllah akan meneruskan namun di saat blog ini ditulis aku di hari-hari yang hampir untuk peperiksaan pertengahan semester. Kemungkinan selepas peperiksaan akan aku sambung kembali.