Monday, April 17, 2006

Nasi Lemak Sale!!!



Nasi Lemak Sale!!! Itulah tema terbaru dalam agenda hidup aku tahun 2006. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Kemungkinan kalian pembaca yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku, hari ini akan aku bongkarkan.

Aku sebenar telah menceburkan diri dalam dunia perniagaan kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak. Idea menjual nasi lemak ini tercetus semata-mata untuk mencari duit sara hidup untuk masa depan. Manalah tahu duit untuk kahwin ke atau apa saja. Yang pasti akhir tahun 2005, aku terfikir akan perniagaan ini. Bonda aku adalah orang terpenting yang membantu aku menyumbang serba sedikit idea.

Maka, sekembali aku ke bumi Melbourne, idea ini aku jaja ke sahabat-sabahat aku. Mereka menyokong aku. Maka pada tanggal 18 March 2006, dengan penuh kesyukuran 33 set nasi lemak telah aku jual kepada sahabat-sahabat yang menginap di hostel di Monash University ini. Harga satu set dalam AUD 2.

Setakat ini, aku telah melaksanakan sebanyak 3 jualan. Jualan kedua dengan 54 set nasi lemak terjual. Jualan ketiga meningkat dengan 59 jualan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun penat membanting tulang semalaman menyiapkan tempahan.

Cumanya tika saat ini, aku masih mencari resipi-resipi bagi membantu menaikkan lagi taraf citarasa sambal aku. Pelbagai resipi-resipi rahsia yang aku pelajari daripada sahabat-sahabat yang lain. Terima kasih kepada mereka!!!

Kalau ditinjau keadaan 2006 di sekitar Monash University, ada segelintir sahabat-sahabat aku yang lain gigih berkeringat mencari duit poket tambahan. Ada setengahnya yang sanggup berjaga mencelik mata seawal 4 pagi demi mencuci kereta diselubungi kedinginan. Ada juga yang bekerja sebagai pencuci di sekolah. Dan juga yang lain-lain yang aku tidak pasti ke mana mereka bekerja.

Matlamat mereka bekerja juga aku tidak pasti. Kemungkinan mengumpul duit untuk berkahwin. Ataupun melabur di Malaysia. Ataupun untuk memenuhi idaman berbelanja dan sebagainya. Aku berharap dan berdoa mereka mendapat idaman yang dicitakan.

Berkenaan jualan nasi lemak aku, aku insyaAllah akan meneruskan namun di saat blog ini ditulis aku di hari-hari yang hampir untuk peperiksaan pertengahan semester. Kemungkinan selepas peperiksaan akan aku sambung kembali.

No comments: