Friday, September 30, 2005


MASA...ke mana Menghilang???

Sepintas lalu marilah kita bersama-sama merenungi sebuah hadis,

"Daripada Abu Hurairah ra katanya: "Rasulullah saw telah bersabda: "Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya." (Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Tirmizi dan lain-lainnya)

Aku mengemukakan hadis bukanlah untuk mensyarahkannya tapi sekadar untuk berkongsi serba sedikit tentang perjalanan umat manusia di dunia ini.

Masa suatu entiti berdimensi tunggal yang tidak dapat diputar kembali. Bergerak tanpa mengira suasana sekelilingnya. Dia persis konsisten dalam menluncur waktu saban hari. Persoalannya, kita umat manusia yang hidup di bawah takuk ruang masa ini wajar menyoalkan, ke mana hilangnya masa, ke mana kita gunakan dan pelbagai soalan untuk kita sedar bagaimanakah masa itu kita manfaatkan.Berlandaskan pemikiran yang dikurniakan Allah, secara ringkas aku mengistilahkan setiap masa yang berlalu pasti ada setengah manusia yang memanfaatkannya ke arah perkara berfaedah, dan ada juga yang membiarkan masa berlalu terhadap perbuatan mereka yang sia-sia.

Kita sewajarnya mengetahui bahawa kurniaan masa adalah anugerah daripada Allah swt. Oleh itu, kita sebagai umat yang bukan sekadar islam di nama, sewajarnya memanfaatkan masa itu sebaik mungkin. Seutama-utamanya, setiap detik hanyalah untukNya. Sebagai contoh, mencoret blog ini aku kira sebagai salah satu tindakan aku untuk memanfaatkan masaku. Atas dasar apa-apa yang aku coretkan moga-moga menyedarkan aku kembali dan sekiranya dirahmati Allah, pembaca sekalian mendapat manfaatnya.

Kalian pembaca blogku,
Hidup ini penuh dengan pilihan. Daripada Allah memberi kudratNya untuk mencelikkan mata sehinggalah Dia menidurkan kita kembali. Pilihan-pilihan seperti hendak makan atau tidak?, hendak ke sekolah atau tidak? yang mana lagi best solat dulu atau menghabis cerita movie dahulu dan pelbagainya. Mana-mana pilihan yang kita putuskan semuanya melibatkan masa dan masa pasti berlalu.

Persoalan seterusnya, bagaimana cara untuk kita memastikan pilihan kita itu tepat dan yang paling UTAMA mematuhi keredhaan Allah swt. Wahai sahabat-sahabat, kita tidak perlu tercari-cari bagaimanakah kerana Allah dan RasulNya telah menyenangkan kerja kita. Apakah caranya? Tentulah hadis yang telah aku utarakan pada awal perbicaraan ini.

Untuk aku menceritakan dengan lebih lanjut, agak sukar sedikit. Ialah takut-takut ada di antara kita yang tersalah faham dengan penulisanku. Tapi kalian jangan gusar, telah Allah maklumkan dalam Kalamullah, pada surah an-Nahl 16, ayat 43 (16:43)

"...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui..."

Untuk tidak menghampakan kalian, aku akan mencatat secara ringkas metodologi yang aku sering dan masih berusaha lakukan agar masa yang dikurniakanNya dimanfaatkan sebaik mungkin,

  1. Keutamaan adalah segala perkara yang berkaitan dengan hak-hak Allah atau kewajipan aku membentuk diri aku sebagai seorang Muslim. Sebagai contoh; solat fardhu secara berjemaah, puasa sunat, membaca al-Quran, membaca al-Mathurat, membaca bahan ilmiah selain bahan-bahan kursus Perubatan, dan beriadah. Sesibuk mana diri aku ini yang pasti aku berusaha untuk memastikan aku melangsaikan segala perkara ini setiap hari.

  2. Kemudian, mengulangkaji pelajaran adalah keutamaan seterusnya. Walaupun segigih mana usaha aku untuk mendalami islam namun pelajaran tetap aku beratkan. Ini adalah salah satu ALAT yang akan aku gunakan pada masa depan demi mengandakan usaha aku untuk mencederungkan manusia islam kini ke arah kebenaran.

  3. Untuk melaksanakan antara perkara-perkara di atas, aku membentuk sebuah jadual berkala agar saban hari aku dapat menanda tick pada perkara yang telah terlaksana. Dengan ini mudah bagi aku untuk melihat tahap-tahap kemalasan dan kerajinan aku. Ingat!!!! Bukan mudah untuk dilaksanakan. Iman dan nafsu aku senantiasa bertelagah saban masa. Kadang-kadang iman menang, kadang-kadang nafsu bermaharajalela. Inilah cabaran, dugaan dan godaan.


InsyaAllah, akhir kata sekiranya ada perkara-perkara yang aku terlupa untuk diselitkan akan kugarapkan pada catatan yang akan datang. Sekiranya, para pembaca ingin berkongsi sedikit pengalaman bagaimana pembaca menghabiskan masa sebagai seorang bapa, pelajar dan lain-lain, amatlah dialu-alukan.

Thursday, September 29, 2005

Sekembali dari Medan Perjuangan

Alhamdulillah sahabat-sahabat sekalian,

Akhirnya diriku kembali menjejakkan kaki ke bumi Clayton. Tiga hari aku di Arrabri Lodge, Warburton East mengajar aku erti kehidupan seorang mu'min. Kemungkinan mata kasar tidak dapat menilai. Namun, aku serahkan penilaian itu hanya kepada Allah yang Maha Adil. Yang penting aku berusaha sedaya mana aku mampu dengan ilmu yang tersemat di dada hasil hidayah Allah dan juga nasihat sahabat-sahabatku.

Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana IMS Camp ini menyedarkan aku kembali akan erti keimanan yang sebenar. Melonjakkan hatiku untuk menilai kembali akan segala perbuatan yang telah aku lakukan. Anda pembaca blogku, bukanlah aku ini seorang manusia yang sempurna. Tidak!!! Namun, manusia seperti aku acapkali melakukan dosa-dosa. Atas kesedaran untuk membentuk diri menjadi seorang Muslim maka aku berusaha sedaya upaya meninggalkan segala jahiliyyah yang tidak diingini oleh Islam.

Setiap aktiviti yang dilaksanakan di Arrabri, aku tidak melepaskan peluang untuk menjadi pemerhati yang jauh daripada sangsi. Aku memerhati keadaan gelagat manusia malahan aku sendiri memerhati tindakan aku. Baik maupun buruk di sisi Islam. Aku tidak sesekali menghakimi apa-apa saja yang aku lihat malahan aku cuba memeras otak untuk mempersoalkan keseiringan tingkah laku kami semua dengan adDeen. Hipotesisnya, ada yang seiring dan ada yang tidak.

Bukanlah perkara ini berlaku atas sebab mereka bersahaja ingin melakukan. Kukira tidak. Kemungkinan, atas sifat optimis, aku menjangka kefahaman Islam tidak menyeluruh lagi dalam hidup mereka. Atau mungkin kefahaman adDeen yang mereka perolehi masih tidak mampu lagi mengawal tingkah laku yang tidak diingini. Banyak lagi bibit-bibit kesedaran yang perlu disemai dalam hati-hati mereka sebagaimana Allah telah mentakdirkan semaian itu dalam hatiku. Kesedaran ini penting demi mewujudkan kembali akidah yang kukuh dan luhur sehingga segala ilmu adDeen yang dipelajari membangkitkan keyakinan yang tidak ternilai dan tidak mudah rapuh.

InsyaAllah pembaca blogku,
Kiranya dengan melayari hasil tulisanku, pelbagai tanggapan yang tidak tergambar di pemikiran kalian maka aku berharap kalian bertanya kepadaku. Bertanyalah supaya iman kalian bertambah dan jangan sesekali bertanya semata-mata untuk mengetahui keaiban mereka maupun aku. Kita sama-sama Muslim, bersangka baiklah demi untuk ukhwah sesama kita. Aku tak mampu lagi membenci kerana kecemburuan, tapi yang pasti kegeraman tercetus adalah kerana Allah s.w.t. Wassalam

Tuesday, September 27, 2005

Penitian Perjuangan

3 malam di ARRABRI...

Hari ini tanggal 27 September, aku ke Arrabri. Bukan untuk berseronok tapi untuk mencenderungkan manusia ke jalan yang sebenar.

Buat pengunjung yang setia, blog ni akan diupdate sekepulangan ku dari Arrabri.

Doakan keselamatan ku di sana..

Wallahualam

Wednesday, September 14, 2005

Semangat yang Berterusan


Assalamualaikum warahmatullah,
Hari ini tanggal 14 September 2005, aku mula mendaftar dan mencoret blog aku pada laman blog yang baru ini. Dahulu aku menggunakan blog yang diorganisasikan oleh Friendster. Oleh kerana aku mahukan sedikit pembaharuan dan cabaran maka blogger.com menjadi pilihan aku. Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca intim blog aku ini. Aku berdoa agar Allah membenihkan keinsafan dan ketaatan pada jiwa kalian apabila membaca blog aku ini. Aku juga berharap agar kalian memperoleh suatu kemanfaatan dalam melirik mata kalian pada catatan kronologi kehidupan ini. Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, ini bukanlah blog seorang sasterawan ataupun karwayan, namun catatan kronologi pandangan seorang insan dengan ad-Din ISLAM
.