Friday, September 30, 2005


MASA...ke mana Menghilang???

Sepintas lalu marilah kita bersama-sama merenungi sebuah hadis,

"Daripada Abu Hurairah ra katanya: "Rasulullah saw telah bersabda: "Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya." (Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Tirmizi dan lain-lainnya)

Aku mengemukakan hadis bukanlah untuk mensyarahkannya tapi sekadar untuk berkongsi serba sedikit tentang perjalanan umat manusia di dunia ini.

Masa suatu entiti berdimensi tunggal yang tidak dapat diputar kembali. Bergerak tanpa mengira suasana sekelilingnya. Dia persis konsisten dalam menluncur waktu saban hari. Persoalannya, kita umat manusia yang hidup di bawah takuk ruang masa ini wajar menyoalkan, ke mana hilangnya masa, ke mana kita gunakan dan pelbagai soalan untuk kita sedar bagaimanakah masa itu kita manfaatkan.Berlandaskan pemikiran yang dikurniakan Allah, secara ringkas aku mengistilahkan setiap masa yang berlalu pasti ada setengah manusia yang memanfaatkannya ke arah perkara berfaedah, dan ada juga yang membiarkan masa berlalu terhadap perbuatan mereka yang sia-sia.

Kita sewajarnya mengetahui bahawa kurniaan masa adalah anugerah daripada Allah swt. Oleh itu, kita sebagai umat yang bukan sekadar islam di nama, sewajarnya memanfaatkan masa itu sebaik mungkin. Seutama-utamanya, setiap detik hanyalah untukNya. Sebagai contoh, mencoret blog ini aku kira sebagai salah satu tindakan aku untuk memanfaatkan masaku. Atas dasar apa-apa yang aku coretkan moga-moga menyedarkan aku kembali dan sekiranya dirahmati Allah, pembaca sekalian mendapat manfaatnya.

Kalian pembaca blogku,
Hidup ini penuh dengan pilihan. Daripada Allah memberi kudratNya untuk mencelikkan mata sehinggalah Dia menidurkan kita kembali. Pilihan-pilihan seperti hendak makan atau tidak?, hendak ke sekolah atau tidak? yang mana lagi best solat dulu atau menghabis cerita movie dahulu dan pelbagainya. Mana-mana pilihan yang kita putuskan semuanya melibatkan masa dan masa pasti berlalu.

Persoalan seterusnya, bagaimana cara untuk kita memastikan pilihan kita itu tepat dan yang paling UTAMA mematuhi keredhaan Allah swt. Wahai sahabat-sahabat, kita tidak perlu tercari-cari bagaimanakah kerana Allah dan RasulNya telah menyenangkan kerja kita. Apakah caranya? Tentulah hadis yang telah aku utarakan pada awal perbicaraan ini.

Untuk aku menceritakan dengan lebih lanjut, agak sukar sedikit. Ialah takut-takut ada di antara kita yang tersalah faham dengan penulisanku. Tapi kalian jangan gusar, telah Allah maklumkan dalam Kalamullah, pada surah an-Nahl 16, ayat 43 (16:43)

"...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui..."

Untuk tidak menghampakan kalian, aku akan mencatat secara ringkas metodologi yang aku sering dan masih berusaha lakukan agar masa yang dikurniakanNya dimanfaatkan sebaik mungkin,

  1. Keutamaan adalah segala perkara yang berkaitan dengan hak-hak Allah atau kewajipan aku membentuk diri aku sebagai seorang Muslim. Sebagai contoh; solat fardhu secara berjemaah, puasa sunat, membaca al-Quran, membaca al-Mathurat, membaca bahan ilmiah selain bahan-bahan kursus Perubatan, dan beriadah. Sesibuk mana diri aku ini yang pasti aku berusaha untuk memastikan aku melangsaikan segala perkara ini setiap hari.

  2. Kemudian, mengulangkaji pelajaran adalah keutamaan seterusnya. Walaupun segigih mana usaha aku untuk mendalami islam namun pelajaran tetap aku beratkan. Ini adalah salah satu ALAT yang akan aku gunakan pada masa depan demi mengandakan usaha aku untuk mencederungkan manusia islam kini ke arah kebenaran.

  3. Untuk melaksanakan antara perkara-perkara di atas, aku membentuk sebuah jadual berkala agar saban hari aku dapat menanda tick pada perkara yang telah terlaksana. Dengan ini mudah bagi aku untuk melihat tahap-tahap kemalasan dan kerajinan aku. Ingat!!!! Bukan mudah untuk dilaksanakan. Iman dan nafsu aku senantiasa bertelagah saban masa. Kadang-kadang iman menang, kadang-kadang nafsu bermaharajalela. Inilah cabaran, dugaan dan godaan.


InsyaAllah, akhir kata sekiranya ada perkara-perkara yang aku terlupa untuk diselitkan akan kugarapkan pada catatan yang akan datang. Sekiranya, para pembaca ingin berkongsi sedikit pengalaman bagaimana pembaca menghabiskan masa sebagai seorang bapa, pelajar dan lain-lain, amatlah dialu-alukan.

No comments: