Wednesday, October 05, 2005

Pengalaman Baru di Bulan Ramadhan

Hari ini tanggal 5 Oktober 2005 bersamaan 1 Ramadhan 1426 H,

Banyak pengalaman dan cabaran yang aku alami untuk hari pertama puasa aku. Cuma pada posting kali ini aku hendak berkongsi dengan anda sekalian berkenaan dengan peristiwa yang berlaku dari pukul 4 petang sehingga 5 petang (waktu Australia).

Buat pertama kalinya, Allah telah menggerakan hati dan diri ini untuk menghadiri Annual General Meeting (AGM) Monash University Islamic Society (MUIS). Aku pun tidak tahu kenapa aku datang. Tapi yang pasti, aku dapat merasakan bahawasanya paling tidak aku yang beradDeen islam kenalah serba sedikit menyokong dan mengambil tahu hal-hal berkenaan dengan persatuan ini. Maka daripada situ, terdetik untuk aku menghadirinya.

Telah Allah tentukan, dalam satu sesi pemilihan komiti, aku telah ditanggungjawabkan untuk menyandang jawatan Mosque Liason Officer. Bukanlah untuk aku menyatakan apa-apa kebanggaan. Malah aku sendiri sehingga kini pun tidak tahu apa-apa tentang tugas tersebut. Namun kerana aku merasakan sebagai muslim aku wajar menabur bukti kerana Allah, maka aku menerimanya. Tapi tidak mengapa walaupun aku tidak tahu menahu selok-belok tugas tersebut, insyaAllah komiti yang berpengalaman akan pasti menunjuk ajarku.

Kalian pembaca yang dirahmati Allah,
Untuk makluman anda, aku berasa terkejut kerana AGM yang aku hadiri, ahli-ahli yang hadir tidaklah seperti AGM yang diadakan oleh syarikat-syarikat gergasi. Contoh di Malaysia seperti Petronas ataupun MARA. Dalam pengkiraan aku hanya 12-14 orang sahaja. Kejutan aku makin bertambah apabila dimakluman bahawa ada ratusan pelajar muslim di Monash University, Clayton Campus. Dalam hati ini terdetik, " Di mana mereka semua?"

Aku rasa bukan aku saja yang merasakan situasi tersebut. Malahan pada mesyuarat yang lalu yang MUIS anjurkan, di mana aku sendiri tidak tergerak untuk datang, aku kira kedatangan ahlinya begitu juga. Di manakah aku tika itu?

Malahan aku terasa seperti dihempap batu yang besar apabila ada seorang hamba Allah ini mengemukan pendapatnya. Dia mengatakan komiti islam hanya boleh dikumpulkan apabila ada makanan lazat yang dihidangkan. Contohnya seperti aktiviti BBQ ataupun buka puasa (Iftaar). Senyum sinis aku pada diri ini. Memang benar kenyataan itu.


Kalian pembaca yang aku sayangi,
Aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana aku yakin setiap manusia ada urusan mereka sendiri. Urusan penting yang aku tidak tahu apa matlamat mereka. Dan aku optimis terhadap niat mereka. Kita semua senantiasa sibuk. Ada yang sibuk mengejar usaha mencenderungkan manusia sebangsanya ke arah kebenaran ada juga yang sibuk mengejar urusan duniawi.

Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, aku akan berusaha menjadi seorang muslim yang menyelam sambil minum air, tangkap ikan. Selagi ada ceruk ruang untuk aku berbakti kepada adDeenku, selagi setiap masa dimanfaatkan untuk adDeenku, maka di situlah aku akan menggemblengkan usahaku. Terus-terang aku mengakui hakikat kelemahan aku. Namun, kira ada ruang untuk aku bersama-sama mengajak manusia ke arah kebenaran, aku kira tidak salah perjuangan ini. Moga-moga Allah memahami setiap langkah yang aku aturkan dan diberkati olehNya. Ameen.

No comments: