Friday, October 14, 2005

Ternanti-nanti...di mana kerjasama???

Lagi beberapa minggu sahaja aku akan menduduki peperiksaan akhir tahun pertamaku. Persediaan aku dalam menjelang peperiksaan ini serupa macam tak bersedia. Yalah, masih di peringkat penyusunan nota.

Aku juga ternanti-nanti sahabat-sahabat yang hendak bersama-samaku untuk belajar sekali. Seingat aku dah dua kali aku cuba untuk melaksanakan study group tapi mungkin aku ini banyak berenang di atas katil lantas tak jadi. Salah aku juga. Entahlah kini aku hanya menunggu manusia yang bersemangat untuk belajar untuk study bersamaku. Sesiapa mahu???

Itulah yang aku pelik kadang-kadang. Selayang pandang aku lihat, segelintir manusia bekerjasama untuk menegakkan agama Allah. Sanggup berkejar-kejaran untuk merebut ganjaran pahala. Alhamdulillah satu usaha yang moga-moga diberkati Allah dan sememangnya dituntut. Namun alangkah sedihnya aku apabila manusia tidak lagi bersemangat dan kurang kesyumulannya dalam mengajak manusia untuk study bersama-sama. Perkara sekecil ini mereka pandang enteng.

Aku tidak tahu bagaimana pemikiran pelajar sekarang dalam usaha untuk belajar bersama-sama ini. Adakah mereka menganggapnya wajib atau sekadar optional? Maksud aku bila datang exam, baru study. Entahlah aku sendiri pun tidak pernah menanyakan.

Namun biarlah aku menyatakan pendirian aku. Ini adalah pendirian aku. Mungkin ada salah dan aku minta maaf atas sekalian. Pendirian aku terhadap belajar bersama-sama ini adalah suatu perkara yang aku kira suatu kewajipan. Mengapa?

Ini adalah kerana berdasarkan hadis Nabi saw bertaraf hadis hasan:

Kalimah al-Hikmah (ilmu pengetahuan) ialah barangan orang Islam yang hilang, di mana sahaja kamu menjumpainya kamu kamulah yang lebih berhak terhadapnya.

Dari segi periwayatan tu, kalian boleh bertanya kepada aku. Nak tulis panjang. Yang pasti hadis ini bertaraf hasrat.

Kalau kalian ingin tahu, hadis inilah yang menyalakan semangat aku secara berterusan selama 2 minggu (aku terbaca hadis ini 2 minggu yang lalu, alhamdulillah atas ketentuan Allah) untuk terus menimba ilmu tanpa mengomel apa-apa pun.

Kalau dilihatkan bagaimana reaksi aku dan rakan-rakan sewaktu pertama kali menuntut ilmu perubatan ini, ramai saja yang mengomel termasuk aku mengatakan subjek ini dan itu tidak relevan. "Buang masa je belajar", "Bosan seh" dan lain-lain komen. Dengan hadis ini, lantas mengubah paradigma aku.

Tidak kira ilmu tu terang-terang daripada al-Quran dan as-Sunnah, maupun daripada penulis-penulis barat, sekiranya ilmu tu adalah untuk kemaslahatan umat islam, maka sesungguhnya ilmu itu adalah milik umat islam. Maka tuntutlah dengan azam sungguh-sungguh bahawa kita sebagai umat islam ingin mengambil kembali ilmu itu.

Perkara ini membuatkan aku tidak mensia-siakan usaha aku untuk mengulang kaji subjek-subjek untuk exam walaupun menimbun nak muntah. Hadis ini menyebabkan aku tidak jemu-jemu bertemu dengan Richard (tutor Anatomi) demi mengorek ilmu Anatomi (ilmu tubuh badan manusia) dengan keyakinan bahawa ilmu tu adalah hak milik umat islam.

Aku tidak tahu kiranya ada kalian yang lebih bersemangat daripada aku. Dan aku menghargai kira kalian dapat berkongsi dan jikalau lebih baik, kita bekerja bersama-sama ke arah mencari keredhaan Allah.

Setakat ini manusia Adam di sekeliling aku bersikap introvert. Alasan aku kerana aku tidak mengetahui apa-apa yang mereka pendamkan. Lebih-lebih lagi menjelang exam ini. Aku hanya tersenyum berserah dan bermohon pertolongan daripada Allah. Aku yakin semua orang pasti bermohon kepadaNya. Maka di mana usaha kita sesama manusia.

Sekadar di sini rintihan aku untuk meningkatkan kesedaran aku. Aku menunggu semangat manusia lain untuk aku bertindak. Jika tiada, selangkah demi selangkah akan kuorak selagi mana aku mampu.

No comments: