Monday, October 17, 2005

Diskusi Ramdhan

Assalamualaikum sahabat-sahabatku,

Pada Ramadhan yang diberkati Allah ini, aku tertarik dengan soal jawap yang kudapati daripada laman setia kunjunganku formulacemerlang.com

Posting kali ini akan mengkepilkan persoalan Berbekam dan Kaedah Suntikan Pada Bulan Ramadhan

Kiriman walid

Assalamualaikum Dr Danial dan ikhwani muslimin,

Saya inginkan penjelasan berkenaan hukum:

(i) Seorang pesakit yang sedang berpuasa dimasukkan air/ ubatan ke dalam badannya menggunakan kaedah suntikan. Ada yang berpandangan keadaan itu tidak membatalkan puasa kerana tidak dianggap memasukkan sesuatu ke rongga badan. Tetapi bagaimana pula sekiranya si pesakit tadi (bukan sakit tenat) dimasukkan air ke badan sehingga hilang rasa dahaganya,bahkan timbul kesegaran asal lantaran air dan zat yang dicucuk masuk melalui wayar ke lengannya.

(ii) Sebuah hadis riwayat Bukhari bermaksud: "Sesungguhnya Rasulullah berbekam dan baginda sedang berpuasa". Manakala sebuah hadis lain pula (tidak diketahui riwayatnya) menyatakan hadis baginda yang bermaksud: " Orang yang melakukan bekam dan orang yang dibekam, batal puasanya". (Buku Jenis-Jenis Penyakit & Cara Merawatnya Menurut Nabi SAW - Abdul Shukor, Penerbitan JASMIN 2004)Pada akhir penulisan dalam bab ini, pengarang lebih cenderung berpendapat bahawa ketetapan hukum adalah BERBEKAM MEMBATALKAN PUASA.

(iii) Saya ingin mengetahui nas yang jelas berkaitan fatwa kerajaan Arab Saudi beberapa tahun lepas (kalau tidak salah saya)yang menyatakan tidak batal puasa apabila mengorek hidung. Adakah lubang hidung tidak dikira sama dengan rongga telinga,mulut, qubul dan dubur?

Harap kemusykilan ini dapat dileraikan dan menjadi ibadat kepada kita semua.

Respons Dr. Danial

KAEDAH KECEMERLANGAN: PENDAPAT MANUSIA PERLU DI ANALISIS. UNTUK ITU LUASKAN PEMBACAAN DAN PENGETAHUAN.

Berbekam atau hijamah dalam bahasa Arab bermaksud mengeluarkan darah dari badan. Mazhab Hambali mengatakan berbekam membatalkan puasa. Namun mengikut majoriti ulama, berbekam TIDAK MEMBATALKAN puasa. Ia berdasarkan hadis yang sahih sebagai contoh dari Abdullah bin Abbas yang berkata: "Nabi pernah berbekam sedangkan baginda sedang berihram dan berbekam ketika baginda sedang berpuasa." (Bukhari & Ahmad)

Thabit al-Bariani pernah bertanya kpd sahabat Anas, "Adakah kamu menganggap makruh berbekam di zaman nabi?" Anas menjawab, "Tidak, kecuali jika ia menyebabkan badan lemah." (Bukhari & Lain-lain)

Memang terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad & Tirmizi yang melaporkan bahawa berbekam membatalkan puasa. Dalam kitab Nailul Autar disebutkan, "Jumhur (majoriti) ulama berpendirian bahawa berbekam tidak membatalkan puasa. Mereka mengatakan (hadis-hadis yang mengatakan berbekam membatalkan puasa) telah dimansukh (iaitu dibatalkan hukumnya dan digantikan dengan hukum tidak membatalkan)."

Demikianlah juga hukumnya bagi pesakit yang diambil darahnya di siang hari di musim Ramadan.
Berhubung dengan memasukkan air (drip) ke dalam pembuluh darah, ia juga tidak membatalkan puasa sebab pembuluh darah bukannya rongga. Kebiasaannya ianya dilakukan ke atas pesakit yang tenat ataupun yang memerlukan walaupun tidak tenat. Semoga bermanfaat.

RUJUKAN:

1- Fiqhus Sunnah - Sayid Sabiq

2- Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Autar - Syeikh Faisal

3- Fiqh Lima Mazhab - Mohd jawad Mughniah


Dr. Danial Zainal Abidin
(M.B.Ch.B; Universiti Alexandria)
Pengamal Perubatan 20 Tahun,
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Radio Mutiara FM Pulau Pinang,
Penulis 10 buah buku,
Kolumnis Majalah i,
Pemudah Cara Pelbagai Korporat...

2 comments:

Anonymous said...

korek idung lak camner? tak jawAB pon...?

Mohd Naguib bin Mohd Yunos said...

Erm...satu persoalan yang menarik. Setakat yang saya belajar, korek hidung tidak mengapa selagi tidak korek melebih hadnya. Rongga hidung kita takleh nk korek ke dalam rasanya. Yang korek tu bkn dikatakan sebagai rongga. Apa apa soalan leh rujuk kepada yang fakih. Ini sekadar pendapat saya ketahui. Saya beramal dgn apa yang diajar menurut pandangan al-Quran dan al-Hadis