Wednesday, July 05, 2006

Artikel Cinta 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca blogku,
Kali ini posting aku berkisarkan tentang cinta juga. Kali ini daripada laman web yang sama iaitu www.drcinta.com, artikel cinta berkenaan dengan "10 Petanda Dia adalah Jodoh Anda". Aku sendiri tak tahu siapa yang menetapkan petanda cinta ini. Kalau betul, mungkin kebetulan dan kalau salah, kelemahan insan tu sendiri.

PERHUBUNGAN & CINTA: 10 Petanda Dia Jodoh Anda

ekstrak daripada buku "Panduan Bercinta & Berdating"

10 Petanda Dia adalah Jodoh Anda

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, 'lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

Mimpi

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya. Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?

Madah Cinta

Manusia merancang, Allah menentukan.”

Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.” – Al-Quran


Thursday, June 29, 2006

Artikel Cinta 1

Assamualaikum dan salam sejahtera teman-teman blog aku,
Kali ini aku akan kepilkan satu posting artikel yang kuperolehi daripada laman web berkisar tentang cinta www.drcinta.com. Kiranya ada di antara yang telah bercinta, sedang bercinta, hendak bercinta atau tidak mahu bercinta maka kiranya ada masa terluang, lawatilah laman web tersebut.

Apabila disebut pasal cinta sememangnya yang terpercik di minda para remaja sudah tentu percintaan antara laki dan wanita yang boleh berkahwin. Kalau diperhatikan dunia sekarang terutamanya di Malaysia sudah menular gejala "couple" atau apa saja. Yang penting yang aku hendak sampaikan adalah hubungan kasih antara laki dan wanita. Aku tidak mahu untuk berkata panjang lebar berkenaan cinta kerana aku pun masih menuntut...hehehe. Enjoy reading the article below:-

PERHUBUNGAN & CINTA: AKHLAK SEMASA CINTA

Dipetik daripada buku "PSIKOLOGI CINTA" terbitan PTS Millennia Sdn Bhd

Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”

ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.

Cinta Sebelum Kahwin
Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan. Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

2.Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.

3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.

4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.

5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.


Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang
Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin
Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.


Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:

1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Seharusnya Cinta…

Insan yang beriman sering kali meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.


Hanya segelintir sahaja yang memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah. Tidak kira apa bangsa ataupun agama sekalipun, hakikat cinta adalah kembali kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.


Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan. Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan perbuatan.

Oleh yang demikian, insan yang beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan, kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.


Monday, April 17, 2006

Recommended Reading Material 2006


Satu ruangan terbaru untuk kalian pembaca blog aku. Recommended Reading Material. Buku tulisan Jack Canfield bersama Janet Switzer bertajuk "The Success Principles". Buku yang bagi aku bertaraf mantap (Quran lagi mantap), disarankan oleh Abg. Fauzul (penerbit buku PTS Milennia). Harga buku dalam RM 69.95. Dalam Australian Dolar, tak salah aku AUD 40.

Jack menulis buku ini yang berkisar tentang prinsip-prinsip kejayaan orang-orang yang berjaya dalam hidup mereka. Kesemua sekali terdapat 64 prinsip kejayaan. Jenuh untuk aku menceritakan kesemuanya. Mana yang sempat aku kongsi akan aku kongsi bersama.

Buku ini boleh didapati dalam ruangan Self-Help di mana-mana kedai buku, tak kiralah Borders ke, MPH ke atau lain-lain. Kemungkinan ada di antara pembaca akan menyangka buku ini sesuai untuk dibaca oleh orang-orang yang gemarkan motivasi atau memerlukan motivasi. Namun bagiku buku ini adalah untuk sesiapa yang dahagakan kejayaan dalam hidup. Tak kira di dunia mau di akhirat.

Kalau hendak dibandingkan Quran dan buku Jack ini, sudah tentu Quran lagi mantap untuk kejayaan di dunia dan di akhirat. Tapi aku tidak mahu menyentuh tentang perkara itu. Kalau hendak juga, berurusanlah dengan aku secara personal.

Buku ini memaparkan prinsip-prinsip yang semua manusia tahu akan kewujudannya. Namun buku ini seolah-olah memberi kesedaran kepada pembaca untuk melaksanakan prinsip-prinsip tersebut. Secara peribadi, bagi aku buku ini merupakan satu manual universal untuk mencapai kejayaan. Maksud aku tidak semestinya setelah habis membacanya anda akan berjaya dalam semalam. Tidak begitu. Cumanya, sebagai titik mula untuk mengorak langkah ke arah kejayaan.

Antara kandungan buku yang menarik perhatian aku adalah berkenaan persoalan bilakah waktu yang sesuai untuk kita mengorak langkah ke arah kejayaan. Jack memberi fakta bahawa tiada masa yang sesuai untuk kita bermula (p. 425). Anda hanya perlu terjun dan memulakannya. Tidak perlu takut akan kesilapan kerana dipertengahan jalan nanti, anda akan mengetahui apa-apa yang perlu dilakukan.

Secara peribadi, terdapat satu dua prinsip dalam buku ini telah aku laksanakan dan sememangnya terbukti benar. Antara teknik yang aku implikasikan adalah bertanya atau Ask! Ask! Ask! (pp. 139 - 145). Kebanyakan orang takut untuk bertanya akan sesuatu yang mereka mahukan. Situasi ini berlaku terhadap diri aku sendiri dan juga antara sahabat-sahabat aku. Masalah takut di sini bukan takut kepada harimau atau jembalang tapi takut untuk bertanya. Kemungkinan leceh untuk berbahasa Inggeris, atau takut kena marah atau sebagainya. Maka, dalam buku ini juga, Jack ada menulis akan perasaan takut ini dan bagaimana untuk mengatasinya.

Hasil penulisan Jack ini adalah berdasarkan realiti hidupnya, hasil pembacaan berpuluh-puluh buku dan juga kisah kejayaan manusia di dunia yang aku kira masih hidup sebahagian daripada mereka.

Saranan aku kiranya buku ini menambat hati anda semua, jangalah segan-silu untuk memilikinya. Pembaca tahap normal seperti aku boleh menghabiskan dalam masa 23 hari dalam kesibukan mengulangkaji pelajaran. Aku pasti anda boleh melakukan yang lagi terbaik. Kerana kita semua adalah yang terbaik!!!

Nasi Lemak Sale!!!



Nasi Lemak Sale!!! Itulah tema terbaru dalam agenda hidup aku tahun 2006. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Kemungkinan kalian pembaca yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku, hari ini akan aku bongkarkan.

Aku sebenar telah menceburkan diri dalam dunia perniagaan kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak. Idea menjual nasi lemak ini tercetus semata-mata untuk mencari duit sara hidup untuk masa depan. Manalah tahu duit untuk kahwin ke atau apa saja. Yang pasti akhir tahun 2005, aku terfikir akan perniagaan ini. Bonda aku adalah orang terpenting yang membantu aku menyumbang serba sedikit idea.

Maka, sekembali aku ke bumi Melbourne, idea ini aku jaja ke sahabat-sabahat aku. Mereka menyokong aku. Maka pada tanggal 18 March 2006, dengan penuh kesyukuran 33 set nasi lemak telah aku jual kepada sahabat-sahabat yang menginap di hostel di Monash University ini. Harga satu set dalam AUD 2.

Setakat ini, aku telah melaksanakan sebanyak 3 jualan. Jualan kedua dengan 54 set nasi lemak terjual. Jualan ketiga meningkat dengan 59 jualan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun penat membanting tulang semalaman menyiapkan tempahan.

Cumanya tika saat ini, aku masih mencari resipi-resipi bagi membantu menaikkan lagi taraf citarasa sambal aku. Pelbagai resipi-resipi rahsia yang aku pelajari daripada sahabat-sahabat yang lain. Terima kasih kepada mereka!!!

Kalau ditinjau keadaan 2006 di sekitar Monash University, ada segelintir sahabat-sahabat aku yang lain gigih berkeringat mencari duit poket tambahan. Ada setengahnya yang sanggup berjaga mencelik mata seawal 4 pagi demi mencuci kereta diselubungi kedinginan. Ada juga yang bekerja sebagai pencuci di sekolah. Dan juga yang lain-lain yang aku tidak pasti ke mana mereka bekerja.

Matlamat mereka bekerja juga aku tidak pasti. Kemungkinan mengumpul duit untuk berkahwin. Ataupun melabur di Malaysia. Ataupun untuk memenuhi idaman berbelanja dan sebagainya. Aku berharap dan berdoa mereka mendapat idaman yang dicitakan.

Berkenaan jualan nasi lemak aku, aku insyaAllah akan meneruskan namun di saat blog ini ditulis aku di hari-hari yang hampir untuk peperiksaan pertengahan semester. Kemungkinan selepas peperiksaan akan aku sambung kembali.