Monday, October 17, 2005

Titipan Seorang Doktor 1

Assalamualaikum,

Di bawah adalah petikan yang aku ambil daripada laman kunjungan saban hariku, formulacemerlang.com. Titipan Dr. Danial Zainal Abidin ini kutuju khas buat sahabat-sahabat dan kalian pembaca yang ingin menimba serba sedikit ilmu perubatan yang diturunkan Allah. InsyaAllah dengan petikan ini, moga-moga Allah menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri kalian.

Kiriman nur_faizah

Assalamualaikum Dr.
Ibu saya selalu mengalami sakit pada bahagian sendi terutamanya pada bahagian jari.Bahagian jarinya akan menjadi bengkak dan sakit apabila terhantuk pada sesuatu. Apakah makanan yang patut diambil oleh ibu saya untuk mengurangkan kesakitan yang dialami dan apakah makanan yang tidak patut diambil oleh ibu saya. Diharap Dr. boleh memberi sedikit pandangan. Terima kasih

Respons Dr. Danial

KAEDAH KECEMERLANGAN: UBAT BAGI KEBANYAKAN PENYAKIT IALAH PENCEGAHAN

Sakit yang dialami dikenali secara umumnya sebagai 'arthritis' atau radang sendi. Ia menyebabkan sesuatu sendi menjadi sakit, bengkak dan keras. Antara bentuk athritis yang sering dialami ialah 'rheumatoid arthritis' dan osteo-arthritis.' Antara punca penyebab athritis ialah 'pelapik sendi' yang dikenali sebagai cartilage telah nipis atau rosak. Kerosakan ini menyebabkan geseran berlaku antara tulang. Jutaan manusia menghidap penyakit ini. Di Amerika saja lebih dari 43 juta orang menghidap arthritis. Antara faktor yang memudahkan penyakit ini menyerang ialah: kegemukan, proses ketuaan, cara duduk/baring yang tidak betul, kerja lasak, jatuh atau hentakan.

Kebiasaannya doktor akan memberikan ubat tahan sakit dan bagi kes-kes tertentu, steroid serta suntikan dalam sendi. Jarang-jarang sekali pembedahan diperlukan.Bagi pesakit radang sendi osteoarthritis yang menyerang ramai golongan tua, ubat 'glucosamine' and 'chondroitin' didapati amat berkesan. (RUJUKAN: The Journal of the American Medical Association March 15, 2000;283:1469-1475, 1483-1484)

Mereka yang suka minum kopi/nescafe lebih mudah menghidap rheumatoid arthritis. Penyakit ini sering menyerang sendi-sendi wanita berumur antara 36-50 tahun. (RUJUKAN: Annals of the Rheumatic Diseases 2000;59;631-635)

Mengikut satu kajian ke atas penduduk di Selatan Greece, mereka yang suka menggunakan minyak zaitun (olive oil) jarang diserangi penyakit sendi rheumatoid arthritis. (RUJUKAN: American Journal of Clinical Nutrition December 1999;70:1077-1082)

Terdapat kajian yang menunjukkan mereka yang suka memakan makanan yang kaya dengan vitamin C dapat mencegah dari penyakit radang sendi yang pelbagai (polyarthritis). (RUJUKAN: Annals of Rheumatic Disease July 2004 63(7):843-7)

Semoga bermanfaat.

Dr. Danial Zainal Abidin

(M.B.Ch.B; Universiti Alexandria)
Pengamal Perubatan 20 Tahun,
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Motivator Radio Mutiara FM Pulau Pinang,
Penulis 10 buah buku,
Kolumnis Majalah i,
Pemudah Cara Pelbagai Korporat...

1 comment:

Mohd Naguib bin Mohd Yunos said...

Kutuju khas untuk Nasrul Muhaimin dan para penghuni Wills Court 605, 1307, 1705