Thursday, September 29, 2005

Sekembali dari Medan Perjuangan

Alhamdulillah sahabat-sahabat sekalian,

Akhirnya diriku kembali menjejakkan kaki ke bumi Clayton. Tiga hari aku di Arrabri Lodge, Warburton East mengajar aku erti kehidupan seorang mu'min. Kemungkinan mata kasar tidak dapat menilai. Namun, aku serahkan penilaian itu hanya kepada Allah yang Maha Adil. Yang penting aku berusaha sedaya mana aku mampu dengan ilmu yang tersemat di dada hasil hidayah Allah dan juga nasihat sahabat-sahabatku.

Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana IMS Camp ini menyedarkan aku kembali akan erti keimanan yang sebenar. Melonjakkan hatiku untuk menilai kembali akan segala perbuatan yang telah aku lakukan. Anda pembaca blogku, bukanlah aku ini seorang manusia yang sempurna. Tidak!!! Namun, manusia seperti aku acapkali melakukan dosa-dosa. Atas kesedaran untuk membentuk diri menjadi seorang Muslim maka aku berusaha sedaya upaya meninggalkan segala jahiliyyah yang tidak diingini oleh Islam.

Setiap aktiviti yang dilaksanakan di Arrabri, aku tidak melepaskan peluang untuk menjadi pemerhati yang jauh daripada sangsi. Aku memerhati keadaan gelagat manusia malahan aku sendiri memerhati tindakan aku. Baik maupun buruk di sisi Islam. Aku tidak sesekali menghakimi apa-apa saja yang aku lihat malahan aku cuba memeras otak untuk mempersoalkan keseiringan tingkah laku kami semua dengan adDeen. Hipotesisnya, ada yang seiring dan ada yang tidak.

Bukanlah perkara ini berlaku atas sebab mereka bersahaja ingin melakukan. Kukira tidak. Kemungkinan, atas sifat optimis, aku menjangka kefahaman Islam tidak menyeluruh lagi dalam hidup mereka. Atau mungkin kefahaman adDeen yang mereka perolehi masih tidak mampu lagi mengawal tingkah laku yang tidak diingini. Banyak lagi bibit-bibit kesedaran yang perlu disemai dalam hati-hati mereka sebagaimana Allah telah mentakdirkan semaian itu dalam hatiku. Kesedaran ini penting demi mewujudkan kembali akidah yang kukuh dan luhur sehingga segala ilmu adDeen yang dipelajari membangkitkan keyakinan yang tidak ternilai dan tidak mudah rapuh.

InsyaAllah pembaca blogku,
Kiranya dengan melayari hasil tulisanku, pelbagai tanggapan yang tidak tergambar di pemikiran kalian maka aku berharap kalian bertanya kepadaku. Bertanyalah supaya iman kalian bertambah dan jangan sesekali bertanya semata-mata untuk mengetahui keaiban mereka maupun aku. Kita sama-sama Muslim, bersangka baiklah demi untuk ukhwah sesama kita. Aku tak mampu lagi membenci kerana kecemburuan, tapi yang pasti kegeraman tercetus adalah kerana Allah s.w.t. Wassalam

No comments: